Kebun Kurma Thailand
Pada 14 Oktober, 2015, saya bersama rakan, Ustaz Mohd Hilmi Bin Mat telah berkesempatan untuk melawat kebun kurma Thailand yang terletak di bahagian utara, iaitu wilayah Chiang Mai, Thailand.
Kebun kurma di Thailand ini merupakan yang pertama seumpamanya di negara Thailand dan dikenali sebagai Kolak Thai Date Farm.
Kolak Thai Date Farm diasaskan oleh Profesor Sam Lak Juan dari Maejo University mulai tahun 1997 lagi. Sekitar 20 tahun yang lalu. Kebun Kurma Kolak ini diusahakan oleh Prof Sam bersama anak perempuan dan menantunya.
Kejayaan mereka menanam kurma sehingga berbuah – yang selama ini amat sinonim sebagai “tanaman timur tengah” telah membangkitkan semangat di kalangan pengusaha tanaman dan petani di Thailand untuk mengikut jejak langkah “pengasas kurma Thailand” ini.
Di Thailand sekarang, seperti “demam tanam kurma”. Boleh dikatakan setiap wilayah di Thailand ada pengusaha yang menanam kurma dengan keluasan melebihi 1 ekar. Biasanya 1 ekar boleh memuatkan 80 pokok kurma dengan jarak tanaman 7 Meter X 7 Meter. Di Thailand, kurma disebut sebagai “inthaphalam”.
Yang menarik dari hasil penelitian penanaman kurma Prof Sam ialah, beliau telah memperkenalkan varieti kurma baru yang dinamakan dengan KL1 Maejo36. Bagaimanapun masyarakat Thailand lebih popular menyebutnya dengan sebutan Kolak One @ KL-1. Maejo merujuk kepada Maejo University, iaitu tempat di mana Prof Sam menjadi penyelidik Sarjana semasa sesi yang ke 36.
Variety Kolak One (KL – 1)
Pokok Kurma Tropika Kolak One (KL – 1) adalah varieti baru hasil persilangan antara jenis varieti Barhee dengan Deglet Nour. Nampaknya varieti KL -1 sudah boleh membiasakan diri dengan iklim dan cuaca tropika. Harus diingat, Chiang Mai terletak kira kira 310 meter dari aras laut dan kira kira 700 KM dari Bandar Bangkok, iaitu ibu negara Thailand.
Berdasarkan pengalaman Prof Sam, KL – 1 boleh mula berbuah pada usia 3 tahun dan setiap tandan buah kurma boleh mencapai berat sehingga 5 ke 10 Kg. Sepokok kurma pula boleh mencapai 5 ke 8 tandan. Berdasarkan ujian kemanisan, buah kurma KL – 1 ini boleh mencapai kadar bacaan 17 °Bx. Prof Sam menjual semua buah segar KL – 1 hanya di kebun sahaja. Sekilo buah kurma segar KL – 1 dijual pada harga RM80/Kg. Dengan purata sepokok menghasilkan sebanyak 50Kg/pokok Ya sungguh lumayan sekali. Kini, Prof Sam telah meluaskan penanamannya hingga melebihi 2200 pokok kurma.
Pokok kurma KL – 1 ini mencapai puncak produktivitinya sekitar umur 15 tahun. Pada masa ini, setandan boleh mengeluarkan hasil 15 Kg hingga 30 Kg. Maka sepokok boleh menghasilkan minima lebih 120Kg. Pada masa ini boleh dikatakan kebanyakan buah kurma yang dituai dijual secara segar dengan program “lawatan agro pelancongan kurma”. Maksudnya, pelawat boleh melawat dusun kurma sekaligus memetik buah kurma untuk dinikmati.
Sumber Anak Pokok Kurma
Sebenarnya, sumber anak pokok kurma hanya ada 3:
Semaian Biji
Biji buah kurma yang terpilih direndam di dalam air dan kemudiannya disemai di dalam polibeg. Seawal umur 6 ke 7 bulan, anak benih pokok kurma boleh dialih ke tanah untuk mempercepatkan pertumbuhannya.
Cabaran utama kepada penanaman pokok kurma yang menggunakan anak pokok dari semaian biji ialah, jantinanya masih belum diketahui. Ya dari segi botani, pokok kurma bersifat dioecious, iaitu organ pembiakan pokok jantan dan betina adalah pada pokok yang berasingan. Maksudnya, sesuatu pokok kurma itu jika jantan, maka jantanlah ia dan jika sesuatu pokok kurma itu betina, maka betinalah ia.
Seterusnya, kedua dua pokok jantan atau betina memang boleh mengeluarkan bunga. Pokok jantan mengeluarkan bunga jantan sementara pokok betina mengeluarkan bunga betina. Dan, hanya bunga betina yang akan menjadi buah kurma. Bunga jantan pula akan digunakan dalam proses pendebungaan berbantu.
Dalam sejumlah anak benih pokok kurma, katakan 100 pokok, peratus jumlah di antara jantan dan betina juga tidak ada yang standard. Dan inilah hakikat sejak kewujudan pokok kurma di muka bumi ini. Boleh jadi 60% betina dan 40% jantan. Boleh jadi juga 40% betina dan 60% jantan. Pernah ada petani yang menanam 700 pokok kurma, selepas 3-4 tahun, hanya 200 pokok sahaja yang betina. Peratus betina hanya 28% sahaja.
Anak Pokok Offshoot
Pokok kurma macam pokok pisang, akan keluar anak di celah batang pokoknya. Berdasarkan pengalaman, pokok kurma yang telah berumur lebih 3-4 tahun boleh mengeluarkan minima 5 anak pokok offshoot di celah batang pokok kurma utama. Anak pokok ini pun akan mengambil masa sekitar 3 tahun sebelum sesuai untuk dipotong-ambil untuk dipindahkan ke lubang tanaman kekal.
Oh ya, apakah jantina anak pokok offshoot ini? Jantinanya bergantung kepada jantina induk pokok kurma. Jika induk pokok ialah betina, maka anak pokok offshoot ialah betina juga. Begitu juga jika induk pokok ialah jantan, maka anak pokok offshoot ialah jantan.
Tisu Kultur
Cara terakhir sumber anak pokok kurma ialah melalui tisu kultur. Maksudnya, anak pokok dihasilkan melalui proses pengambilan sel pokok betina dan dibesarkan di makmal dan kemudiannya dialihkan di dalam bekas semaian. Apabila telah berusia minima 6 bulan, telah boleh dialihkan ke tanah untuk ditanam kekal.
Bagaimanapun pada masa ini anak pokok kurma dari tisu kultur ini masih belum ada di Thailand, begitu juga di Malaysia. Jika mahu diimport dari “timur tengah” kos sepokok pun agak mahal, lebih kurang RM250-RM350 sepokok dan perlu ada belian minima sekitar 200 pokok.
Justeru itu masih ramai petani yang memulakan tanaman kurma di Thailand dengan menggunakan anak pokok dari semaian biji khususnya KL – 1. Selepas semua pokok kurma mengeluarkan bunga, pokok kurma jantan akan ditinggalkan sedikit dan selebihnya akan dijual sebagai pokok hiasan lanskap. Oh ya, 1 pokok jantan boleh digunakan serbuk jantannya dalam proses pendebungaan untuk 30 – 40 pokok betina.
Update: Untuk cara beli anak benih pokok kurma, boleh ke link Cara Beli.
Anda juga boleh Call/WhatsApp +60 19-269 6947 untuk info lanjut.
No comments yet.